Amat pelik 100 orang menahan dan mengugut membunuh penyiasat kebakaran yang mengakibatkan jerebu, siapa mereka ini??


Puluhan lelaki Indonesia, yang disyaki digajikan oleh sebuah syarikat kelapa sawit, mengugut untuk membunuh para penyiasat sekitaran yang memeriksa kebakaran-kebakaran di Sumatera, menurut kementerian sekitaran.
Insiden itu menggambarkan kesukaran yang dihadapi Indonesia dalam menangani masalah pembakaran hutan secara haram untuk membersihkan tanah bagi ladang-ladang kelapa sawit, pulpa dan kertas yang mencetuskan kepulan asap pada setiap musim kering, yang adakalanya menyelubungi rantau ini.
TAHAN SELAMA 7 JAM, UGUT BUANG MAYAT DALAM SUNGAI
Kementerian itu menyatakan sekumpulan sehingga 100 lelaki menahan tujuh penyiasat selama 12 jam hujung minggu lalu, dan mengugut akan membakar mereka hidup-hidup dan membuang mayat mereka ke dalam sungai di sebuah ladang kelapa sawit di Rokan Hulu, Riau.
Pasukan seramai tujuh orang itu sedang menyiasat imej-imej satelit yang menunjukkan tompok-tompok panas atau apa yang disyaki adalah kebakaran, di tanah konsesi milik syarikat ladang kelapa sawit PT Andika Permata Sawit Lestari (APSL).
Kumpulan seramai 100 lelaki itu disyaki dikerahkan oleh syarikat tersebut, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
"Menyusuli insiden ini, siasatan terhadap PT APSL akan menjadi keutamaan kami," kata Menteri Sekitaran Siti Nurbaya dalam kenyataan itu, merujuk kepada kedua-dua pencerobohan hutan dan penahanan pasukan penyiasat yang dipercayai dilakukan syarikat itu.
"Kementerian sekitaran akan menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan tegas menurut undang-undang," ujarnya.
Seorang wakil syarikat itu, yang dihubungi Reuters hari ini, enggan memberi komen.
PASUKAN DIBEBASKAN SETELAH HAPUSKAN BUKTI BERGAMBAR
Pasukan penyiasat tersebut dibebaskan hanya selepas rundingan-rundingan yang melibatkan pihak polis dan setelah mereka bersetuju menghapuskan bukti bergambar dan meninggalkan dua kenderaan dan alat kelengkapan di tempat itu. Alat kelengkapan dan kenderaan-kenderaan itu didapatkan semula pada hari keesokannya.
Para penyiasat itu, bagaimanapun, berjaya mendapatkan semula rakaman video daripada dron yang menunjukkan ribuan hektar sebuah hutan dibakar secara haram di dan sekitar tanah konsesi APSL.
"Sejauh yang kami dapat lihat, sebuah kawasan yang sebelum ini tanah gambut diubah menjadi ladang kepala sawit," kata Cik Nurbaya.
Syarikat-syarikat peladangan menyalirkan tanah-tanah gambut yang berpaya sebelum menanam tanaman-tanaman mereka. Tanah gambut seperti itu mudah terbakar dan kerapkali terbakar apabila syarikat-syarikat mencetuskan kebakaran untuk membersihkan tanah.
LEBIH 450 DIBERKAS BERHUBUNG KEBAKARAN HUTAN
Lebih 450 individu sudah ditangkap berhubung kebakaran hutan dan tanah tahun ini.
Di bawah undang-undang Indonesia, syarikat-syarikat yang didapati bersalah boleh didenda sehingga 10 bilion Rupiah (S$997,000), dan pihak pengurusan boleh dipenjara sehingga 10 tahun. Syarikat-syarikat yang gagal mengawal kebakaran yang dicetuskan di tempat lain namun merebak ke tanah konsesi mereka juga boleh dikenakan hukuman.
Kepulan asap dari kebakaran di Riau kerapkali merebak ke negara jiran Singapura dan Malaysia. Pencemaran udara di Singapura meningkat ke paras "Tidak Sihat" lewat bulan lalu setelah jumlah kebakaran hutan di Riau meningkat.
Amat pelik 100 orang menahan dan mengugut membunuh penyiasat kebakaran yang mengakibatkan jerebu, siapa mereka ini?? Amat pelik 100 orang menahan dan mengugut membunuh penyiasat kebakaran yang mengakibatkan jerebu,  siapa mereka ini?? Reviewed by Unknown on 22:51 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.